Anak Lahir Mulai 1 Januari 2018 Terima RM200

Dana Tabungan Permulaan sebanyak RM200 akan diberikan kepada setiap anak Malaysia yang lahir bermula 1 Januari 2018 hingga 2022 melalui unit Amanah Saham di Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Ia dinyatakan dalam pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Najib, skim yang pertama kali diperkenalkan itu adalah jaminan masa depan generasi TN50 dikenali sebagai Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan turut memperuntukkan RM250 juta bagi pendidikan generasi TN50 yang antara lain digunakan untuk menubuhkan pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, pusat itu bertujuan membentuk kaedah pembelajaran terkini serta melatih guru pakar STEM menggunakan fasiliti institut pendidikan guru sedia ada dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia.

Peruntukan itu juga digunakan untuk mempertingkatkan modul komputer sains termasuk program koding dalam kurikulum sekolah rendah dan menengah yang kini telah wujud di tingkatan 1 dan tingkatan 3.

Sumber: BERNAMA