“Nanti Kontroversi, Sorok Dulu Kalau Bercinta” – Zizan

SEBAGAI anak seni yang sudah lama melakar nama di industri hiburan, pengalaman selama 10 tahun itu telah mengajar Zizan Razak untuk sentiasa bijak membawa diri.

Bagi Zizan atau nama sebenarnya, Mohammad Razizan Abdul Razak, 33, dia langsung tidak menggunakan apa-apa strategi untuk menarik perhatian peminatnya.

“Pada saya mudah sahaja untuk nama tidak dikaitkan dengan kontroversi iaitu jangan cari pasal!

“Sebagai contoh kata tidak bercinta tetapi keluar bersama atau memuat naik gambar bersama di Instagram,” katanya dipetik daripada mStar Online.

Tambah Zizan lagi, dia juga sering menjaga reputasi serta disiplin dirinya ketika bekerja agar ianya tidak tercalar daripada sebarang isu mahupun kontroversi murahan.

“Dalam bahasa mudahnya ‘jangan meminta!’ Kalau benar hendak bercinta sangat soroklah perhubungan itu,” ujarnya lagi.

Walaupun sering mencapai kejayaan dalam dunia seni tetapi itu tidak membuatkan anak pantai timur itu lupa diri dan bersikap angkuh.

“Alhamdulillah saya sentiasa mengingatkan diri agar sentiasa merendah diri kerana sikap sombong itu sebenarnya merugikan diri sendiri.

“Saya juga banyak belajar daripada orang lain yang saya lihat kebanyakannya tidak kekal lama kalau menyombong dan meninggi diri.

“Bukan dalam dunia seni sahaja tetapi bidang lain juga dan ia benar-benar buka mata saya,” ujar Zizan yang sebelum ini sering dikaitkan dengan pelakon cantik manis, Mira Filzah.

Sebagai pelakon dan pelawak, kedatangan tahun 2018 ini benar-benar memberikan dia semangat untuk terus bekerja keras.

Azamnya untuk tahun baru ini adalah untuk meningkatkan lagi kualiti kerjayanya sebagai anak seni serta mencabar diri melakukan perkara yang belum lagi dilalui olehnya.

“Saya tidak sasar untuk menang anugerah tetapi lebih kepada jaga kualiti kerja dan bekerja keras lagi kerana harapan peminat sangat tinggi,” katanya lagi.

Zizan bakal muncul dalam filem Polis Evo 2 yang kini masih lagi menjalani penggambaran.

Dalam masa yang sama, Zizan juga bakal terbang ke Jakarta, Indonesia bagi membincangkan satu projek terbaharunya di negara seberang.