‘Saya Tak Sanggup Tengok Apa-apa Jadi Pada Elyana’ – Anita Baharom

Setiap insan di dunia ini pasti memiliki seorang sahabat baik yang sentiasa menyediakan bahunya tatkala kita menangis, telinga untuk mendengar segala cerita pahit dan manis.

pasti ramai yang pernah menonton drama Dunia Baru suatu ketika dahulu dan siapa sangka perkenalan dua pelakon di dalam drama ini, Anita Baharom dan Elyana kini mereka merupakan sahabat baik yang sentiasa ada untuk diri masing-masing.

Menurut Anita, dia telah mengetahui tentang penyakit kanser yang dihidapi Elyana sejak dari awal lagi kira-kira tujuh tahun yang lalu.

Kata Anita, ketika dia mengetahui mengenai penyakit yang dihidapi oleh Elyana dia sangat terkejut dan terkedu namun dia sangat mengenali sahabatnya ini yang tidak pernah bergurau tentang hal yang serius.

“Masa mula-mula dia bagi tahu saya, saya dalam kereta dan dia hantar masej pada saya untuk bertanya tentang nama ubat yang saya makan dan di mana dia boleh dapatkan. Saya pun bagi tahu lah dia lepas tu saya tanya dia kenapa dan dia cakap pada saya yang dia ada kanser.   “Terkedu saya dalam kereta masa tu dan saya tanya dia betul ke? Dia jawab ya aku kena kanser limfoma.   “Saya tahu, Elyana memang tak akan main-main dengan hal ini. Hati saya sebak waktu tu dan tak tau saya nak gambarkan macam mana. Memang tak tentu arah saya masa tu,” katanya kepada MH.

Pelakon ini memberitahu lagi, sebagai seorang sahabat setelah mengetahui Elyana menghidapi kanser dia banyak memberi dorongan dan berkongsi sebarang info tentang kanser yang diketahuinya pada Elyana.

Baru-baru ini selepas Elyana mengumumkan penyakit yang dihidapinya, ramai yang bersimpati dan mendoakan penyanyi itu namun ada juga yang turut mengecam Elyana.

Sebagai seorang sahabat baik buat Elyana, Anita berkata kita jangan mudah menghakimi orang lain dengan apa yang kita lihat sahaja kerana dalam hatinya kita tidak tahu dan tidak nampak apa sebenarnya keadaan yang dihadapi oleh Elyana.

“Kepada semua netizen, memanglah zaman sekarang ni orang cakap zaman sosial media yang tiada batasan untuk kita nak cakap apa sekali pun.   “Elyana diuji dengan cara macam itu oleh ALLAH SWT tapi kita pun tak tahu kita diuji dengan cara macam mana. Kita sebagai manusia biasa, kita hanya mampu berdoa dan ALLAH SWT pun menguji kita sebenarnya.   “Sedangkan kalau kita bercakap yang bukan-bukan dalam sosial media pun itu sebenarnya adalah ujian ALLAH SWT pada kita.   “Macam mana kita bercakap, segala fitnah bertebaran dalam sosial media itu semua adalah dosa dan seharusnya lebih baiklah kita bercakap benda yang baik-baik. Kalau kita buat silap, kita bertaubat dan perbaiki diri kita,” katanya.

Kata Anita lagi, mungkin ujian yang diterima oleh Elyana ini membuatkan penyanyi ini memperbaiki dirinya lagi dan kita sebagai orang luar tidak tahu hubungan Elyana dengan ALLAH SWT. Sebagai manusia biasa pelakon ini berkata, seharusnya kita memberi sokongan dan doa yang baik-baik untuk kesihatan Elyana.

“Doakan Elyana sembuh seperti sediakala, saya tak sanggup tengok apa-apa jadi kat dia dan kepada Elyana seperti biasa aku memang selalu doakan kau semoga sembuh seperti sediakala dan jaga diri baik-baik, jaga tingkah laku sebab orang memandang kita dan aku doakan semua yang terbaik untuk kau,” katanya kepada MH dengan rasa sebak.