‘Tak gaduh dengan abang’ – Fadzil

DIK kepada pelakon popular, Datuk Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari menafikan dakwaan kononnya dia bergaduh dengan abangnya itu.

Fadzil berkata, hubungannya dengan Farid masih baik malah tidak wujud sebarang pertelingkahan atau konflik antara mereka.

“Saya dan Farid masih baik. Mana ada kami gaduh. Tak baik buat fitnah yang bukan-bukan.

“Saya selalu mengingatkan diri bahawa tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan. Saya akan sentiasa menyokong dan berada di sampingnya walau bermacam dugaan harus ditempuhinya,” katanya.

Sebelum ini, timbul dakwaan mengatakan Fadzil tidak lagi berhubung dengan Farid apabila kelibatnya tidak kelihatan pada sidang media diadakan Farid di Shah Alam, baru baru ini.

Ketiadaan Fadzil selama ini menemani Farid berdepan kontroversi dan menjadi penjamin bagi beberapa kes mahkamah mengundang tanda tanya ramai.

Bagaimanapun menurut Fadzil, selepas abangnya dibebaskan daripada tahanan polis dia tidak lagi seratus peratus menjaga karier seni abangnya kerana Farid mempunyai pengurus peribadi iaitu Saufee Miftah.

“Ketika dia ditahan di balai polis, saya bersama adik beradik membantu menguruskannya.

“Tetapi selepas dia dibebaskan adalah lebih baik saya tidak mencampuri urusannya kerana dia tahu apa lebih baik.

“Bagaimanapun saya akan menyokong dan akan sentiasa membantunya dari belakang,” katanya.

ADIK kepada pelakon Datuk Farid Kamil, Fadzil Zahari akui abangnya kini berdepan ujian berat.

Fadzil ketika ditemui turut memohon orang ramai agar mendoakan semoga urusan Farid berjalan lancar dan dipermudahkan.

“€œIni adalah ujian berat untuk dirinya dan keluarga.

“€œInsya-Allah kami akan sentiasa memberikan sokongan. Lagipun kami tidak tahu apa lagi perkara berbangkit yang bakal ditempuh selepas ini. Kita doakan yang baik-baik saja,”€ katanya.

Terdahulu Farid didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan membuat laporan polis palsu.

Tertuduh, Farid Kamil atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 37, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mereka keterangan palsu bersabit laporan polis dengan memasukkan maklumat palsu dan tidak benar yang mana laporan itu boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan 5.54 petang pada 31 Januari lalu di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Dakwaan kes itu dikemukakan mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 192 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun dan denda, jika disabit kesalahan.

Sumber : hmetro